Langkah-Langkah Menggalakkan Aktiviti Membaca Dalam Kalangan Pelajar

PENDAHULUAN
  • Membaca jambatan ilmu.
  • Membaca amat dituntut oleh agama Islam.
  • Membaca dapat meningkatkan penguasaan ilmu serta kemahiran yang menjadi faktor penentu kejayaan seseorang.
  • Pelbagai langkah untuk menggalakkan aktiviti membaca dalam kalangan pelajar.
ISI / IDEA-IDEA PENTING
  • Golongan pelajar mesti diterapkan dengan kefahaman yang jitu tentang kepentingan membaca kepada diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan agama.
  • Ibu bapa wajar mendidik anak agar gemar membaca sejak mereka masih anak-anak lagi.
  • Ibu bapa perlu menjadikan membaca sebagai hobi seterusnya menjadi teladan kepada anak-anak.
  • Ibu bapa mesti menyediakan suasana positif yang menarik minat anak untuk membaca.
  • Ibu bapa menjadikan budaya membaca sebagai amalan dalam keluarga.
  • Pihak pengurusan sekolah melaksanakan dasar menggalakkan aktiviti membaca dalam kalangan pelajar.
  • Pihak sekolah mesti menyediakan kemudahan pusat sumber yang lengkap dan kondusif.
  • Pihak sekolah sentiasa menjalankan kempen membaca secara berkala dan bersungguh-sungguh.
  • Pihak sekolah bersama dengan guru melaksanakan projek 'Nilam' dengan efektif sepanjang tahun.
  • Guru perlu sentiasa memberikan kesedaran kepada pelajar tentang pentingnya aktiviti membaca.
  • Guru seharusnya menggunakan pelbagai pendekatan dalam proses pembelajaran dan pengajaran yang berteraskan aktiviti membaca.
  • Pihak Kementerian Pelajaran perlu menganjurkan program galakan membaca di peringkat kebangsaan.
  • Pihak kementerian mesti menyediakan peruntukan yang munasabah kepada sekolah-sekolah bagi meningkatkan prasarana pusat sumber sekolah.
  • Pihak kerajaan harus melancarkan kempen membaca secara berterusan melalui pelbagai media seperti media elektronik, media cetak dan sebagainya.
  • Pihak kerajaan mesti menurunkan cukai ke atas bahan-bahan percetakan, import buku agar harga buku menjadi murah di pasaran.
  • Pihak kerajaan juga perlu menggiatkan aktiviti penterjemahan buku-buku asing ke dalam bahasa Melayu.
  • Pihak kerajaan memperkenalkan skim baucar membeli buku kepada golongan pelajar dari semua peringkat bukannya hanya untuk pelajar IPT.
.

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan dalam Kalangan Masyarakat


Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan dalam Kalangan Masyarakat

Dalam mendepani era modenisasi pada abad-21 kini, dunia menyaksikan iktisad negara yang kian membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Negara yang semakin pesat membangun seperti tenggelam sama basah, timbul sama hanyut seiringan dengan negara maju lain. Namun begitu,  isu memupuk semangat kejiranan masih menjadi polemik dalam kalangan marhaen di Malaysia.  Dewasa ini, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita semakin hari semakin terpinggir. Maasyarakat pada hari ini lebih mementingkan diri sendiri dan membudayakan hidup bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Dari segi  konsepnya semangat kejiranan boleh ditakrifkan sebagai suatu perasaan yang harus dipupuk oleh setiap masyarakat di Malaysia tanpa mengira warna kulit bangsa dan agama dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan kaum demi negara yang tercinta. Biasanya semangat kejiranan merangkumi semua lapisan masyarakat tidak kira muda ataupun tua yang perlu kita amalkan. Menurut Dato’ Dr. Fadzillah Kamsah jiran merupakan orang yang tinggal di sekeliling kita sama ada di depan, belakang, kiri , atau pun kanan dan merupakan orang pertama yang membantu kita ketika kita berada dalam kesusahan. Hal ini boleh dianalogikan seperti awan yang melindungi bumi daripada cahaya matahari. Oleh itu, beberapa langkah yang pragmatik harus diambil bagi memupuk semangat kejiranan kepada semua lapisan masyarakat.

          Langkah yang paling pragmatik untuk memupuk semangat kejiranan ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini kerana ibu bapa merupakan guru pertama dan guru terbaik kepada anak-anak. Jika ibu bapa menunjukkan teladan  yang baik kepada anak-anak maka mereka akan mencontohi teladan yang ditunjukkan kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah mengunjungi atau menziarahi jiran tetangga walaupun mereka berada dalam keadaan yang baik atau tidak. Selain itu, ibu bapa haruslah tidak sombong dengan jiran dan sering bertegur-sapa agar dapat memupuk semangat kejiranan. Kesannya, semangat kejiranan dapat dipupuk antara jiran dalam kalangan anak-anak dan ibu bapa sekali gus dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni. Sekiranya cara memupuk semangat kejiranan dapat dipupuk oleh ibu bapa maka negara dapat melahirkan generasi yang bijaksana dan bekerjasama dalam mentadbir membangunkan negara ke  arah kemajuan  negara pada masa akan datang. Tegasnya, contoh teladan yang terbaik daripada ibu bapa mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan anak-anak.

                Memetik wasitah nirmala seterusnya, uslub lain untuk memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat setempat di Malaysia ialah program rukun tetangga  di kawasan perumahan mesti dihidupkan semula. Hal ini kerana program rukun tetangga berfungsi sebagai perisai untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari.  Anggotanya membabitkan semua pihak tanpa mengira kaum kerana masing-masing bertanggungjawab menjaga keselamatan kendiri dan keluarga. Sebagai contohnya, anggota rukun tetangga akan bergilir-gilir bertugas meronda kawasan tanpa mengira usia, agama dan status. Secara ghalibnya, senario ini akan mewujudkan  jalinan hubungan yang mesra bagai isi dengan kukusekali gus memupuk semangat kejiranan yang hakiki. Menurut Tun Dr. Mahathir, jiran yang muafakat akan membentuk masyarakat yang harmoni. Oleh itu, kita perlu mengaktifkan program rukun tetangga bagi melahirkan semangat kejiranan yang utuh dan bersatu padu. 

          Meninjau dari skop yang lain, langkah yang seterusnya adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong oleh ahli komuniti atau badan bukan kerajaan (NGO).  Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong adalah seperti membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Selepas mengenali hati budi antara satu sama lain barulah benih-benih kasih sayang. Melalui cara ini, masyarakat yang penyayang dapat dilahirkan di samping dapat menerapkan pelbagai nilai murni. Tun Dr. Mahathir, Mantan Perdana Menteri  pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri. Bukan itu sahaja, kawasan kediaman juga akan menjadi bersih dan terpelihara daripada penyakit demam denggi. Jelaslah bahawa aktiviti gotong-royong dapat memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

          Jika dilihat dari perspektif yang lain, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanyakan khabar dan bercerita tentang pengalaman masing-masing dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Maka, dengan adanya pengimplimentasian program seperti “Rumah Terbuka Kebangsaan” bagi setiap sambutan perayaan, rakyat dapat diterapkan dengan nilai hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain ibarat kata bidalan, “serumpun seperti serai, seikat seperti sirih”. Hal ini dikuatkan lagi dengan kajian dari Universiti Sains Malaysia yang menunjukkan keberhasilan penganjuran program “Rumah Terbuka Kebangsaan” dalam mewujudkan institusi kejiranan yang kukuh di sembilan buah kawasan perumahan di sekitar Pulau Pinang. Pendek kata, majlis rumah terbuka mampu mengeratkan hubungan kejiranan dan memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

           Lontaran idea yang seterusnya ialah kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Dengan ini, kita dapat meringankan penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Izharlah bahawa amalan ziarah-menziarahi mampu menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita.

          Sebagai menggulung segala lontaran idea yang telah dinyatakan, dapatlah disimpulkan bahawa terdapat beberapa langkah yang dapat dipraktikkan untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal.  Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.  Oleh itu, kita perlu memupuk semangat kejiranan  bermula daripada sekarang.  Cogan kata “Jiran Sepakat Membawa Berkat” perlu terus subur mewangi dalam kehidupan kita sehari-hari. Golongan remaja seharusnya menyuburkan semangat kejiranan kerana mereka merupakan pemimpin yang akan mewarnai corak pemerintahan pada masa hadapan. Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan usaha ini pada bahu satu pihak kerana bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing untuk menghidupkan semangat kejiranan di negara kita. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali”. Semoga Malaysia menjadi sebuah negara yang mempunyai perpaduan yang utuh dan kukuh.

.

Usaha-Usaha Meningkatkan Industri Pelancongan Di Malaysia


Usaha-Usaha Meningkatkan Industri Pelancongan Di Malaysia

Di Malaysia, industri pelancongan merupakan salah satu punca pendapatan negara yang diperoleh melalui pengaliran masuk wang asing. Malaysia juga terkenal dengan destinasi hub halal dan menjadi tumpuan pelancong asing terutamanya, Asia Barat, Timur Tengah dan Asia Tenggara. Industri pelancongan Malaysia merekodkan purat kemasukan pelancong asing sebanyak 2 juta setahun. Oleh itu, terdapat pelbagai usaha yang dapat dilakukan untuk meningkatkan industri pelancongan di Malaysia.

Usaha yang pertama ialah kerajaan perlu menyediakan prasarana yang mencukupi, selesa, jimat dan mudah. Hal ini demikian kerana, kemudahan ini memudahkan dan memberikan keselesaan kepada pelancong. Sebagai contoh, kementerian pengangkutan bekerjasama dengan kementerian pelancongan untuk menyediakan perkhidmatan seperti bas dan teksi dengan kadar yang berpatutan serta cekap dan efisien. Pihak perhotelan pula seharusnya menyediakan penginapan hotel yang selesa dan mengenakan bayaran yang berpatutan. Syarikat pelancongan juga boleh menyediakan khidmat pemandu pelancong untuk membimbing atau melayan pelancong asing ketika mereka berada di Malaysia. Dengan itu, imej negara yang baik boleh ditunjukkan kepada pelancong.

Selain itu, kerajaan juga boleh mengurangkan cukai belian barangan , peraturan imegresen perlu dilonggarkan dan menambah pusat perkhidmatan tukaran wang asing. Hal ini demikian kerana, pelancong asing dapat membeli belah di Malaysia dengan pembelajaan yang sederhana. Sebagai contoh, Pulau Langkawi merupakan pulau bebas cukai yang menjadi destinasi pelbagai peancong dari dalam mahupun luar negara. Di sana , mereka dapat membeli cenderahati, pinggan mangkuk, kraftangan, dan coklat untuk di bawa pulang. Dengan itu, pendapatan penduduk setempat bertambah dan mereka dapat meningkatkan taraf hidup masing-masing.

Di samping itu, kerajaan dan rakyat Malaysia boleh bergabung tenaga untuk mengadakan kempen promosi pelancongan di dalam dan di luar negara. Kempen Cuti-Cuti Malaysia dan Tahun Melawat Malaysia telah dijalankan setiap tahun bagi mempromosikan Malaysia. Rakyat Malaysia yang berada di luar negara yang melanjutkan pelajaran juga boleh menjadi duta kecil kepada Malaysia. Mereka boleh mempromosikan tempat-tempat yang menarik di Malaysia seperti Pulau Langkawi, Pulau Redang, Cameron Highland dan banyak lagi. Oleh itu, semua rakyat Malaysia memainkan peranan pentinng untuk memajukan industry pelancongan.

Kesimpulannya, usaha dari semua pihak perlu bagi meningkatkan industri pelancongan di Malaysia. Hal ini demikian kerana, usaha dari satu pihak sahaja tida akan membuahkan hasil, seperti kata pepatah, tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Jadi, untuk menjadi negara yang maju dalam industri pelancongan memerlukan usaha yang berterusan dan sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia.

.

Latihan Tatabahasa : Maksud Peribahasa


Latihan Tatabahasa : Maksud Peribahasa

 

Beri maksud peribahasa di bawah:

1.    enggang dengan enggang, pipit dengan pipit, baru boleh terbang bersama
2. ibarat telur semangkuk/ sesangkar, pecah sebiji pecah semua
3. ikan di laut, asam di darat, di dalam periuk bertemu juga
4. jauh bau bunga, dekat bau tahi
5. kalau bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi
6. mati anak berkalang bapa, mati bapa berkalang anak
7. seperti pungguk rindukan bulan
8. ikut hati mati, ikut rasa binasa
9. nasi sudah menjadi bubur
10. sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan

1.    Jawapan: Perhubungan yang sama taraf.
2.    Jawapan: Jika seseorang ahli dalam sesuatu kumpulan mendapat susah, ahli yang lain juga turut merasai kesusahannya.
3.    Jawapan: Jikalau ada jodoh, di mana-mana pun akan ditemukan juga.
4.    Jawapan: Kaum keluarga yang tinggal berjauhan akan berasa rindu tetapi jika tinggal berdekatan akan selalu berkelahi.
5.    Jawapan: Sesuatu perkara tidak akan berlaku jika melibatkan seorang sahaja.
6.    Jawapan: Hubungan anak dengan bapa yang sangat baik dan saling bertolongan.
7.    Jawapan: Seseorang yang sentiasa mengingati dan merindui kekasihnya.
8.    Jawapan: Orang yang mengikut kehendak nafsu akan musnah hidupnya.
9.    Jawapan: Perbuatan yang sudah terlanjur dan tidak dapat diubah lagi.
10. Jawapan: Kita hendaklah berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu pekerjaan agar tidak menyesal kemudian hari.

.